sambil dok jenjalan blog ke blog
ini kisah benar ye
nek basah abis dah tisu ni
sabo je la
ujian tuhan datang tanpa diduga
dalam sedar atau tidak kita hanya perlu redha dan bertawakal dalam menghadapi segala ujian
sesungguhnya, mereka yang diuji adalah mereka yang dikasihi oleh ALLAH s.w.t
Mak pandang jenazah abang yang
terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak
ketenangan pada wajah abang.
Mak ambil pisau. Mak potong
baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai,
Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui
perut abang yang 'buncit'.
Tapi, mak akan simpan baju
itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat
rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah
disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.
Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.
"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.
Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.
"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"
Itu pesan mak semasa kakak-kakak
mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup
dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.
Mak nampak air mata abah
berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap
dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.
Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"
Akhirnya, wajah abang 'ditutup'.
Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang
turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.
Abah masuk ke dalam liang lahad
untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan.
Abang sudah selamat di sana.
Bertubi-tubi mak terima ucapan
takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan
yang mereka tanyakan pada mak.
Soalan itu asyik
terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah
anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa
kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.
Mereka hairan kenapa mak
tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman.
Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang
pernah berada dalam rahim mak dulu? Empat tahun dua bulan mak
membesarkan Abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam
diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat
di dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan
perjalanan derita Abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.
Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum
Abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak
cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak
menangis?
Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.
Januari 2011- Perut Abang
semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ
dalaman Abang sudah rosak, sudah 'reput'. Tidak boleh diselamatkan lagi.
Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi
pembedahan untuk Abang.
26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua
hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek
lori sampah! Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori
sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk
lori sampah, Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur , tetapi
tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang Abang
minta. Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan
Abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai
pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas,
Abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang,
sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak
sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.
7 Mac 2011- Keadaan abang
semakin kritikal. Perut abang semakin membesar. Abang tidak mampu untuk
bergerak dan lebih banyak terbaring serta asyik sesak nafas. Mak semakin
tidak tahan melihatkan keadaan Abang sebegini rupa. Mak bawa Abang ke
IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat Abang. Kata doktor,
tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. mak
angguk perlahan-lahan. Mak redha dengan ketentuan ilahi. Dalam hati mak
juga terdetik, masa Abang sudah tidak lama lagi. Para ibu di wad
tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan keadaan Abang? Mak
cuma mampu untuk jawab, "InsyaAllah, Abang akan sihat!" Mak terpaksa
cakap begitu pada mereka, sebab mak tidak mahu mereka semua lemah
semangat jika mereka tahu Abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun
sedang bertarung dengan ujian Allah apabila anak-anak yang dikasihi
ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran
manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri yang telan.
13 Mac 2011- Hari ini
merupakan hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa Abang pulang
kerumah . Doktor izinkan. Biarlah Abang habiskan waktu-waktu terakhir
bersama keluarga. Dan disaat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya, "Abang nak apa harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab, "Mak, Abang nak naik kereta bomba!"
Mak termenung dengar permintaan Abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana?
Mak jawab, "Balai bomba!"
Sampai di situ, mak meminta izin
daripada pegawai bomba. Mak kata padanya, Abang teringin sangat nak
merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu cuma garu-garu kepala,
kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Belum sempat pegawai bomba itu
menjawab, lantas mak tarik baju Abang ke paras dada.
Separuh berbisik, mak beritahu
pegawai itu, "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk
'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!" Bila lihat
perut Abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan,
pegawai itu tidak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu
salah satu trak bomba itu. Lantas dia terus dukung Abang dan letakkan
Abang ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembira sangat
biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Tetapi Abang tidak
perasan, ketika itu mak palingkan muka selama lima saat. Sekadar mahu
mengelap titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi pada abang, "Abang nak apa?"
Abang pun jawab: "Abang nak naik
lori sampah!" Mak dukung Abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah
lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin naik
lori ni. Boleh izinkan sebentar?" Pekerja itu tertawa mendengar
kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju Abang dan beritahu perkara
sama. Terus berubah mimik wajah mereka. Segera mereka angkat Abang,
letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang
memalingkan muka, tak sangup untuk melihat Abang lama-lama. Sedih
agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan
yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah, mak akan bawa Abang pergi zoo.
Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.
Mak dan abah tidak kisah,
kami silih berganti dukung Abang. Abang pinta nak tengok burung, mak
bawa Abang ke taman burung. Abang nak main permainan robot, mak bawa ke
kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja Abang
nak pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan, semuanya mak tunaikan!
Setiap hari juga mak tanya Abang nak makan apa. Macam-macam Abang
teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu,
air bandung , rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan walaupun
makanan itu Abang pinta pada pukul 3.00 pagi.
Mak tahu dan faham, masa Abang bersama mak dan abah semakin suntuk!
27 Mac 2011- Abang semakin
kritikal! Abang sudah tidak mampu untuk berkata-kata, apatah lagi untuk
bergerak seperti biasa. Mata Abang kuyu dan Abang hanya mampu terbaring
sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan Abang. Mak segera pinta abah
bawa Abang ke hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke
IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak
bernafas!" Itulah kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak
mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang
terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.
5 April 2011- Mak telefon
sekolah asrama Kakak sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada
cikgu untuk benarkan Kakak pulang.
"Adik tenat. Saya mahu
kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!" Mak pinta pada
cikgu dan Kakak diizinkan pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang
sinonim merawat abang juga datang melawat. Ketika itu mak ceritakan yang
mak terkilan sangat tidak dapat tunaikan permintaan Abang yang mahukan
kek berbentuk lori sampah.
7 April 2011- Pagi ini Dr.
Adura datang melawat Abang lagi. Kemudian Dr. Adura beritahu ada
surprise untuk Abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu
tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura datang membawa kek lori
sampah yang Abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak
sangka, Dr Adura rajin menulis mengenai kisah abang didalam blognya dan
ramai yang menawarkan diri untuk menyediakan kek yang abang pinta. Para
tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang
tahun untuk Abang. Tetapi abang kurang ceria, wajah Abang tampak letih
dan nafas abang turun naik.
8 April 2011- Tengah hari
ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink
untuk abang. Tetapi abang sangat lemah. Abang sekadar terbaring merenung
kek itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah Abang,
bacaanya meningkat naik. Tetapi hati mak dapat merasakan yang Abang
sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua
dengan Abang berada di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang
semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap
rambut Abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.
Dalam tangis itu, mak katakan
pada Abang, "Mak tahu Abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat
macam tu. Mak tahu Abang nak pergi. Jangan tahan-tahan Abang. Pergilah
menghadap Ilahi. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat
sempurnakan apa sahaja hajat yang Abang pinta. Mak juga bangga kerana
Allah hadirkan Abang dalam hidup mak walaupun seketika."
Abang hanya diam, memandang mak
dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Mak
juga berjanji bahwa mak tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak
tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia.
9 April 2011- Pagi itu mak pesan
pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa Abang dah
dekat sangat. Mak lihat Abang sudah kritikal. Wajah Abang sudah tampak
biru, lebam! Dada Abang berombak, tercungap-cungap menarik nafas.
Abang sudah tidak mahu makan dan
minum lagi sejak malam tadi. Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak-kakak
sampai. Mak suruh Kak Long bacakan Yaasin di sebelah Abang. Mak suruh
abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan
tangisnya.
Pukul 3.00 petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak Abang keluar berjalan-jalan.
"Abang, abang nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"
Abang hanya mengangguk lemah.
Mak dukung Abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu
minum air coklat. Tapi Abang hanya minum seteguk. Kemudian, Abang
lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu?
nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?" Mak tunjuk pada abang sinar
matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu
itu. Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang
menguap.
"Abang ngantuk!" Itu kata Abang
dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak
berdegup kencang. "Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak
abah dan kakak-kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat
jamah makanan di atas meja.
Sampai sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di atas katil.
Dan Abang terus merintih dalam nada yang lemah, "Makkk..sakit perut..!"
Suara Abang amat perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi Abang.
"Abang, hari ini, waktu ini, mak
redhakan Abang pergi. Mak halalkan segala makan minum Abang. Mak
halalkan air susu mak untuk Abang. Pergilah Abang. Mak izinkan Abang
pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalam mata
Abang yang semakin kuyu. Saat Abang sedang nazak itu, mak panggil
kakak-kakak agar mengucup Abang selagi Abang masih bernafas. Mereka
kucup pipi Abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.
"Kakak! kalau kamu semua
nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu Abang dengar kamu
menangis! Jangan seksa Abang dengan tangisan kamu semua!" Mak marah
mereka. Mak tidak mahu Abang lihat kami menangisi pemergian Abang. Mak
tahu, Abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila
melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput Abang. Mak
tidak mahu tambahkan lagi kesedihan Abang untuk meninggalkan kami. Abah
pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara
tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh
jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar
lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat Abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah Abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah.."
Dan perlahan-lahan mata abang
yang layu tertutup rapat, genggaman tangan Abang pada jari mak semakin
lemah dan akhirnya terlepas...
Pukul 3.50 petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillahiwainnailahirajiun.
Mak kucup dahi Abang. Mak
bisikkan di telinga Abang, "Tenanglah Abang di sana . Suatu hari nanti,
mak juga pasti akan turuti jejak Abang. Abang... tunggu mak di sana ya!
Di syurga!"
Abang, sekarang mak
sudah dapat jawapanya. Mengapa mak tidak menangis? Pertama, Abang telah
di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti.
Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang telah mak
tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang
sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah
sunatkan dan buat akikah untuk Abang. Keempat, mak telah menjalankan
tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi Abang dan
menggembirakan Abang setiap saat dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa
dipilih Allah untuk mendapat anak seperti Abang. Mak jadi 'kaya' dengan
kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya
keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak telah beri
segalan-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah beri
yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu
mak tidak perlu menangis lagi.
Abang.. biarpun kini hidup
mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa Abang tapi... mak akan
sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran Abang dalam
hidup kami biarpun cuma sebentar. Abang dalam kisah ini adalah adik
Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk
hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi
jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran
sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua
bulan dan ada antara pembedahannya yang gagal, malah abang pernah
disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada
awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir ke
dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat
tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan
Hamdan (bapa).
Al-Fatihah untuk Allahyarham adik Iqbal Fahreen. Semoga rohnya dicucuri rahmat